Pages

Wednesday, 13 June 2012

We Are Travellers


picture by: ~ivan0494

“Kak Intan suka baca travelog eh?” Tanya Yusra kepada Intan.

“A ah.. akak memang suka baca travelog. Sebab kita boleh tahu apa yang ada kat tempat orang lain walaupun kita tak dapat pergi ke sana” Jawab Intan.

“Betul! Sokong!! Hehe..” Saya mencelah sambil membelek-belek yang berjudul Di Hamparan Shamrock Kuseru NamaMu karya Ustaz Hasrizal yang di beli oleh Intan di Pesta Buku Antarabangsa, PWTC yang lalu. Buku tersebut adalah sebuah buku travelog yang menceritakan pengalaman Ustaz Hasrizal di UK.

Buku terbaru tulisan Ustaz Hasrizal itu sangat mengujakan saya. Dan sememangnya saya sangat teruja setiap kali membaca dan mendengar pengisian daripada beliau. Tambah teruja apabila saya pernah mendengar kisah hidup Ustaz Hasrizal ketika beliau masih bergelar mahasiswa yang penuh dengan pancaroba. Sangat kagum dengan ketabahan beliau menghadapi segala tribulasi duniawi!

Setelah membelek-belek dan membaca beberapa bab yang saya fikir menarik dalam buku tersebut saya bersuara, “Agak-agak kalau kita tulis travelog ada orang nak baca tak? Hahaha”

Saya tergeli hati dengan pertanyaan sendiri.. ^^

“Ye la kan.. ada ke orang nak baca pengalaman kita? Hehehe..” Jawab Intan.

“Belum cuba belum tahu kak..” Yusra menambah.

Saya sekadar tersenyum sambil memikirkan tentang perjalanan hidup sendiri.

Malam tersebut saya dan Yusra tumpang bermalam di rumah Intan setelah kami bertiga pulang agak lewat kerana menghadiri sebuah majlis Ilmu yang lokasinya agak jauh dari kawasan kami. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan perjalanan kami kali ini. Di kesempatan itu jugalah saya ambil untuk menggeledah segala buku yang menarik yang beliau ada.

Syukur kepada Allah swt kerana menganugerahkan sahabat-sahabat yang cintakan ilmu dan gemar ‘mengembara’ demi mencari walau setitik ilmu, sekaligus menjadi peneman setia di sepanjang perjalanan kehidupan ini. Tidak boleh saya bayangkan kembara saya tanpa mereka. Bagaimana hidup kami setelah masing-masing bergraduasi nanti. Semoga Allah sentiasa merahmati mereka dan menjaga silaturrahim antara kami semua.

****

Kembali kepada topic asal.. Travelog atau mungkin boleh saya terjemahkan ia sebagai sebuah catatan pengembaraan adalah satu tulisan yang amat menarik perhatian saya. Membaca pengalaman kembara orang lain bukan sekadar meluaskan pengetahuan, malah boleh juga menimbulkan keinsafan dalam diri dengan mengambil iktibar daripada setiap kejadian yang menimpa mereka. Malah Allah mencatatkan banyak kisah ‘travelog’ para anbiya’ dalam al-Quran untuk dijadikan pedoman buat sekalian umat manusia.

Namun, adakah kembara itu menuntut seseorang itu untuk mengembara jauh ke negara asing semata-mata?
Tidak semestinya. Kerana kehidupan di dunia ini juga adalah sebuah kembara.

Teringat saya akan sebuah hadis yang pernah saya jumpa sewaktu membaca buku Travelog Minda Tajdid karya Dr. Asri. Rasulullah saw pernah mengingatkan kita akan kehidupan ini:

Saya di dunia ini bagaikan penunggang kenderaan yang berehat di bawah sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya (Hadis sahih riwayat at-Tirmizi)

Ya, kita adalah penunggang kenderaan tersebut. Yes! We are travellers! Mengembara dan akan terus mengembara sehinggalah kita sampai ke titik penghujungnya iaitu sebuah kematian. Maka pada titik itulah pengembaraan kita berakhir.

Secara jujurnya, saya tidaklah mempunyai banyak pengalaman hidup yang menarik untuk dikongsikan. Hari-hari yang saya lalui tidaklah begitu mencabar jika dibandingkan dengan orang lain. Malah banyak sahaja masa yang berlalu hambar dan terisi dengan perkara-perkara lagha. Terasa diri ini sangat kerdil tatkala membaca kisah-kisah para nabi dan ilmuan tersohor. Doakan saya menjadi insan yang lebih baik.. ^^

Pernah juga saya tanyakan kepada diri saya sendiri tentang pengalaman diri sendiri. Apa yang menarik tentang kehidupan yang sedang saya jalani? Sudahlah ilmu kurang. Pengalaman juga tidak banyak. Pada waktu itu, teringat saya akan blog ini yang sudah lama tidak di’update’. Blog pun tak ter’update’ nak tulis travelog? Haha.. Sekali lagi saya geli hati saya memikirkannya..

Namun selepas itu saya terfikir.

Pangalaman hidup sendiri kurang menarik? Tidak adventurous?

Benarkah?

Atau adakah sebenarnya ia berpunca dari kegagalan diri kita sendiri dalam melihat dan menilai kehidupan, sehinggakan kita melihat perjalanan yang ditempuhi sebagai tidak menarik?

Atau adakah mungkin juga kita kurang bersyukur dengan setiap yang Allah tentukan kepada diri kita sehinggakan diri merasakan tidak pernah puas dengan apa yang ada? Bahkan merasa cemburu dengan kejayaan yang dimiliki orang lain.

Kita lupa ke manakah asal tujuan perjalanan yang kita tempuhi. Kita sirami perjalanan tersebut dengan sikap dan sifat yang memesongkan kita dari arah yang sebenar.

Tamak.. Tidak puas hati.. keluh kesah.. rendah diri.. hasad dengki.. dan segala macam perasaan dan sikap yang tidak sihat membelenggu jantung hati dan pemikiran. Mungkin kita sering melihat hidup ini dengan pandangan yang negatif. Pandangan, perasaan dan sikap negative inilah yang menjadikan kita tidak pernah berasa menarik, tidak seronok atau tidak cukup dengan kehidupan di anugerahkan kepada kita.

Sudut pandang, sudut pemikiran dan sudut penilaian itulah yang menentukan bagaimana kita melihat, berfikir serta menilai setiap detik kembara kehidupan kita di atas muka bumi ini.

Lihat saja gambar di bawah. Apakah yang kita lihat? Sebuah gelas yang separuhnya berisi susu? Ataupun sebuah gelas yang separuhnya kosong? Sebuah gambar yang sama, tetapi dianalisa berdasarkan persepsi yang berbeza.

picture by: ~KatieLyn

Maka begitu jugalah hidup ini.

Bagaimana sikap kita dalam berinteraksi dengan kehidupan sendiri juga memainkan peranan yang penting dalam menikmati kelangsungan kehidupan ini.

Apakah makna menikmati kehidupan?

Adakah ia bermaksud kita menikmati secawan teh di sebuah tempat yang tenang dengan dilatari pemandangan yang segar menghijau sambil dihembus angin sepoi-sepoi bahasa?

Adakah ia bermaksud kita perlu bertungkus-lumus bekerja pada setiap Isnin hingga Jumaat dan bergembira sepuas-puasnya pada malam Jumaat tanpa menghiraukan larangan agama mahupun moral? Bak kata orang atas angin, ‘thank God, It’s Friday!’

Makna kehidupan itu subjektif bagi setiap individu. Jika kita tanyakan pada individu yang berlainan, maka kemungkinan besar jawapan yang diperoleh itu berbeza antara setiap individu. Lain cara pandang.. maka lainlah juga maksudnya pada setiap diri kita. 

Maka, tidak hairanlah jika ada orang yang sangat berpuas hati tatkala mengecap sesuatu nikmat hidup walaupun pada pandangan orang lain nikmat itu cuma biasa-biasa saja.. Dan tidak hairan juga jika ada orang yang mengecap kemakmuran hidup setinggi gunung pun masih belum berpuas hati dengan apa yang dicapai. Bahkan tidak puas-puas mengidamkan yang lebih besar lagi.

Setiap daripada kita boleh saja memberikan jawapan yang berbeza. Namun bagi insan yang menganut ajaran Islam, tentu saja kita satu mempunyai skema jawapan yang sama.

Jika kita gagal memperoleh jawapan yang sama.. justeru, definisi kehidupan itu perlu dinilai semula oleh setiap diri kita dan kembali merenung makna hakikat kehidupan ini..

Apa kejayaan hidup yang ingin dicapai?

Kepada siapakah untuk kita tujukan dan persembahkan segala pencapaian tersebut?

Adakah untuk mendapatkan senaskah penghargaan manusia yang tidak seberapa? Atau demi sebuah keredhaan daripada Allah swt yang tidak terhitung nilainya?

picture by: =RetroChick27

Memang benar apa yang dinukilkan oleh Dr. Asri, “Gagal mengingati asas menyebabkan kita kehilangan kompas dalam kembara hidup. Oleh itu, keluar seketika daripada kegawatan isu, ketamakan, dan kerakusan dunia dengan kembali merenung kepada hakikat hidup.”

Jika kompas kembara hidup sudah hilang, maka sudah masanya kita berusaha mencari kembali kompas hidup yang sudah hilang dan menuju kepada syurga yang abadi, kerana di situlah letaknya sebuah kehidupan yang hakiki lagi infiniti. 

4 comments:

Isyraf Imrani said...

Seluruh pengembaraan kehidupan kita adalah tarbiyyah. :)

Di sebalik setiap sesuatu ada hikmahnya.

:)

pemerhatiSejati said...

sy pn suka bc travelog =) subhanallah, bnyk yg kita x tahu dkat ngara lain. penulis mmg bwk pmbaca msuk dlm prjlanan tu skali =)

yusra said...

kak kenapa saya baru tahu ni..haha..sebut2 nama saya pulak..patut la hari tu terabatuk2.. :p

Khalilah said...

Inilah perjalanan yang diamanahkan supaya menuju redha Ilahi...

Slmt berkenal...

Daisypath Anniversary tickers