Pages

Monday 10 April 2023

Doa orang yang dibantu

 Assalamualaikum wbt,

Hari ni aku nak buat sesi story telling sikit. hihi..

Hari ni ada seorang student dari sebuah negara Arab last minute minta tolong sacrifice tikus untuk projek dia. Sudahla short notice, nak pulak siap cepat, sebelum pukul 3 sebab dia nak pergi ambil kereta yang dia baru beli katanya.. 2 ekor je katanya dan disebabkan I am the only one yang available, maka aku onz sajalah.

Lab rat by Greevixor


Sejurus saja selesai solat zohor, makanya aku bersegeralah bergegas ke makmal, dengan harapan segala bahan-bahan untuk sacrifice tikus telah tersedia... 

Dipendekkan cerita, proses mensacrifice tikus berjalan dengan baik, tapi tak dapat siapkan sebelum pukul 3 petang kerana ada tikus yang lambat pengsan. Sangkaan aku, lepas je ambik darah dan collect organs, dah boleh tinggal dan dia setelkan sendiri the next process. Rupa-rupanya angan-anganku musnah sama sekali. 

Sudahlah kalut buat kerja, boleh dikatakan semua benda dia tak tahu.. Bila tanya sharp bin kat mana.. dia boleh tanya balik sharp bin tu apa? Cara nak dispose sharp items/clinical waste pun tak tahu.. Guna pipette pun tak tahu.. Even nak bezakan unit mililiter dan microliter pun tak tahu..

Dalam batu jemala ini kufikirkan, "Weh.. hang student PhD kot.. takkan taktau benda basic macam tu.." "Macam tak pernah buat research"

Hampir saja aku ini hilang sabar dengan beliau.. tapi bila fikir balik, what do I expect? Bukan ke dari awal memang dia macam tak tahu apa.. Awat macam terkezut semaciaamm??? hahaha..

Disebabkan sudah lambat, dia terpaksa juga pergi. Maka nak tak nak, akulah yang kena selesaikan saki baki kerja yang dia tinggalkan. I wuz like "weh,, ni projek hang kot.. plan la elok-elok. Bila nak buat satu2 procedure tu pandai-pandai la estimate masa.. jangan la dok ada banyak2 plan sangat sampai mengganggu projek"

Nasib baik 2 ekor je.. 

Lepas selesai kerja, maka aku pun pulanglah ke office. Maka bermulalah sesi meluahkan perasaan bersama rakan sekerja. Adalah aku merungut sikit dan risau jugaklah bila nak sacrifice tikus yang banyak-banyak nanti..

Lepas meluahkan perasaan, aku pun hantar whatsapp kepada student tersebut untuk memaklumkan lokasi sampel darah dan semua barang-barang lab beliau. 

Then, dia balas 

"Thanks. Ok, dear thank you and I wish Allah loves you and give you anything u want <3 <3 <3"


Selesai baca mesej tu, aku terdiam.. betapa aku merungut atas sesuatu kerja yang pada aku agak simple, tapi ia sangat bermakna kepada student tersebut.

Aku lupa, setiap usaha yang aku lakukan Allah akan balas dengan balasan yang lebih baik daripada apa yang aku lakukan. Allah juga telah berjanji akan mempermudahkan urusan kita sekiranya kita mempermudahkan urusan orang yang dalam kesusahan.


Aku beristighfar, memohon keampuanan daripada Allah atas segala ketelanjuran kata-kata dan perbuatan aku. Aku turut mempersoalkan keikhlasan aku untuk membantu student tersebut. Betapa teruknya diri ini kurasakan kerana merungut dengan hal yang sebegitu. Padahal doa daripada orang yang kita bantu itu adalah satu bentuk balasan budi yang tidak terhitung nilainya ke atas diri kita..

Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa membantu dan mempermudahkan urusan orang lain.

Amin.. InshaAllah

Friday 31 March 2023

#2

 Assalamualaikum wbt,

Sighhhh...

Decided to write again.. tapi tu lah, tak larat dah nak menulis macam dulu.. Dulu2 suka la menulis benda2 heavy dan ilmiah.. tapi sekarang malas dah nak buat semua tu.. I think I had enough dengan benda2 berat ni.. Ye lah, sekarang ni dah masuk alam pekerjaan.. which is still perlu perah otak disamping tenaga jugak. Plus, kerja aku sekarang ni pun boleh tahan berat juga kena berfikir dan menulis benda2 ilmiah ni.. so sajalah blog ni untuk tulis benda sempoi2.. kadang2 tempat nak tulis benda merepek pon ye.. hahaha.. bukan apa, i think each one of us need to have a some sort of 'safe space' untuk kita be 'alone' and write/do what ever we want (declaimer.. selagi tidak melebihi batas agama dan adat.. then that's fine. inshaAllah)

Semakin meningkat usia kita (taknak cakap makin tua dah.. hahha).. semakin rasa nak hadap semua benda dengan hati yang tenang dan hidup dengan simple. Which is, sometimes we didn't get bila kita berada di luar our own private space.. So.. this blog kinda serves as 'safe private space for me'.. although it is not really private.. LOL.. I mean it is on the internet and anyone could mistakenly clicked this blog and read. But yeah.. you guys most probably don't know me.. so it is totally fine.. hahaha.. only a few of my friends yang tahu my nickname.. but they the most rapat one.. so yeah.. hhahaha

So how was your Ramadhan?? My Ramadhan is ok.. I starting to feel the Ramadhan vibe now.. alhamdulillah.. masa awal2 puasa dulu tak rasa macam bulan Ramadhan lagi.. which is kinda sad.. kan.. dok terfikir, senipis mana iman aku, dan setebal mana noda pada hati aku sampai tak rasa roh Ramadhan tu.. padahal baru je balik dari umrah..

Oww.. speaking about umrah, aku terfikir nak tulis pasal umrah juga kat sini.. tapi itulah.. kalau ada kerajinan aku nak menulis benda-benda ilmiah ni macam dulu.. dulu pun banyak je cubaan untuk berblog balik. tapi semuanya terkubur sebab tak konsisten. selalu je tulis padam.. tulis lagi.. padam lagi.. akhirnya tak post pon..

Ok la.. setakat ni dulu.. jumpa lagi blog bila aku rasa nak menulis lagi..

Adios..

H

31/3/2023 | PEN | 4.45 PM

Thursday 23 March 2023

#1: Jeng.. jeng.. jeng.. I'm back!!

Assalamualaikum..

Jeng..jeng..jeng..

Tetiba blog ni aktif balik. hahaha.. Dah lama sangat dah tak post apa-apa di ruangan blogger. Maklumlah sekarang pakat dok aktif di media sosial.. blogger kini dipandang sepi.. hukhuk. posting lama-lama pun dah direvert jadi draft balik. Untuk tontonan dan bacaan sendiri sahaja.. hahaha

Nothing much.. saja gatal nak buat posting.. mentang-mentang orang dah tak baca sangat blog.. so tetiba rasa best pulak nk menulis balik kat sini.. aahh.. sesuwai sangat kalau nak meluahkan perasaan githcheeww..

Anyways.. to whoever still remember me? Pernah baca my posting sebelum ini, thank you so much.. tak sangka masih ada orang ingat.. LOL..

Eheh.. saja nak ucap SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik buat kita semua. Amiin..

Wednesday 13 June 2012

We Are Travellers


picture by: ~ivan0494

“Kak Intan suka baca travelog eh?” Tanya Yusra kepada Intan.

“A ah.. akak memang suka baca travelog. Sebab kita boleh tahu apa yang ada kat tempat orang lain walaupun kita tak dapat pergi ke sana” Jawab Intan.

“Betul! Sokong!! Hehe..” Saya mencelah sambil membelek-belek yang berjudul Di Hamparan Shamrock Kuseru NamaMu karya Ustaz Hasrizal yang di beli oleh Intan di Pesta Buku Antarabangsa, PWTC yang lalu. Buku tersebut adalah sebuah buku travelog yang menceritakan pengalaman Ustaz Hasrizal di UK.

Buku terbaru tulisan Ustaz Hasrizal itu sangat mengujakan saya. Dan sememangnya saya sangat teruja setiap kali membaca dan mendengar pengisian daripada beliau. Tambah teruja apabila saya pernah mendengar kisah hidup Ustaz Hasrizal ketika beliau masih bergelar mahasiswa yang penuh dengan pancaroba. Sangat kagum dengan ketabahan beliau menghadapi segala tribulasi duniawi!

Setelah membelek-belek dan membaca beberapa bab yang saya fikir menarik dalam buku tersebut saya bersuara, “Agak-agak kalau kita tulis travelog ada orang nak baca tak? Hahaha”

Saya tergeli hati dengan pertanyaan sendiri.. ^^

“Ye la kan.. ada ke orang nak baca pengalaman kita? Hehehe..” Jawab Intan.

“Belum cuba belum tahu kak..” Yusra menambah.

Saya sekadar tersenyum sambil memikirkan tentang perjalanan hidup sendiri.

Malam tersebut saya dan Yusra tumpang bermalam di rumah Intan setelah kami bertiga pulang agak lewat kerana menghadiri sebuah majlis Ilmu yang lokasinya agak jauh dari kawasan kami. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan perjalanan kami kali ini. Di kesempatan itu jugalah saya ambil untuk menggeledah segala buku yang menarik yang beliau ada.

Syukur kepada Allah swt kerana menganugerahkan sahabat-sahabat yang cintakan ilmu dan gemar ‘mengembara’ demi mencari walau setitik ilmu, sekaligus menjadi peneman setia di sepanjang perjalanan kehidupan ini. Tidak boleh saya bayangkan kembara saya tanpa mereka. Bagaimana hidup kami setelah masing-masing bergraduasi nanti. Semoga Allah sentiasa merahmati mereka dan menjaga silaturrahim antara kami semua.

****

Kembali kepada topic asal.. Travelog atau mungkin boleh saya terjemahkan ia sebagai sebuah catatan pengembaraan adalah satu tulisan yang amat menarik perhatian saya. Membaca pengalaman kembara orang lain bukan sekadar meluaskan pengetahuan, malah boleh juga menimbulkan keinsafan dalam diri dengan mengambil iktibar daripada setiap kejadian yang menimpa mereka. Malah Allah mencatatkan banyak kisah ‘travelog’ para anbiya’ dalam al-Quran untuk dijadikan pedoman buat sekalian umat manusia.

Namun, adakah kembara itu menuntut seseorang itu untuk mengembara jauh ke negara asing semata-mata?
Tidak semestinya. Kerana kehidupan di dunia ini juga adalah sebuah kembara.

Teringat saya akan sebuah hadis yang pernah saya jumpa sewaktu membaca buku Travelog Minda Tajdid karya Dr. Asri. Rasulullah saw pernah mengingatkan kita akan kehidupan ini:

Saya di dunia ini bagaikan penunggang kenderaan yang berehat di bawah sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya (Hadis sahih riwayat at-Tirmizi)

Ya, kita adalah penunggang kenderaan tersebut. Yes! We are travellers! Mengembara dan akan terus mengembara sehinggalah kita sampai ke titik penghujungnya iaitu sebuah kematian. Maka pada titik itulah pengembaraan kita berakhir.

Secara jujurnya, saya tidaklah mempunyai banyak pengalaman hidup yang menarik untuk dikongsikan. Hari-hari yang saya lalui tidaklah begitu mencabar jika dibandingkan dengan orang lain. Malah banyak sahaja masa yang berlalu hambar dan terisi dengan perkara-perkara lagha. Terasa diri ini sangat kerdil tatkala membaca kisah-kisah para nabi dan ilmuan tersohor. Doakan saya menjadi insan yang lebih baik.. ^^

Pernah juga saya tanyakan kepada diri saya sendiri tentang pengalaman diri sendiri. Apa yang menarik tentang kehidupan yang sedang saya jalani? Sudahlah ilmu kurang. Pengalaman juga tidak banyak. Pada waktu itu, teringat saya akan blog ini yang sudah lama tidak di’update’. Blog pun tak ter’update’ nak tulis travelog? Haha.. Sekali lagi saya geli hati saya memikirkannya..

Namun selepas itu saya terfikir.

Pangalaman hidup sendiri kurang menarik? Tidak adventurous?

Benarkah?

Atau adakah sebenarnya ia berpunca dari kegagalan diri kita sendiri dalam melihat dan menilai kehidupan, sehinggakan kita melihat perjalanan yang ditempuhi sebagai tidak menarik?

Atau adakah mungkin juga kita kurang bersyukur dengan setiap yang Allah tentukan kepada diri kita sehinggakan diri merasakan tidak pernah puas dengan apa yang ada? Bahkan merasa cemburu dengan kejayaan yang dimiliki orang lain.

Kita lupa ke manakah asal tujuan perjalanan yang kita tempuhi. Kita sirami perjalanan tersebut dengan sikap dan sifat yang memesongkan kita dari arah yang sebenar.

Tamak.. Tidak puas hati.. keluh kesah.. rendah diri.. hasad dengki.. dan segala macam perasaan dan sikap yang tidak sihat membelenggu jantung hati dan pemikiran. Mungkin kita sering melihat hidup ini dengan pandangan yang negatif. Pandangan, perasaan dan sikap negative inilah yang menjadikan kita tidak pernah berasa menarik, tidak seronok atau tidak cukup dengan kehidupan di anugerahkan kepada kita.

Sudut pandang, sudut pemikiran dan sudut penilaian itulah yang menentukan bagaimana kita melihat, berfikir serta menilai setiap detik kembara kehidupan kita di atas muka bumi ini.

Lihat saja gambar di bawah. Apakah yang kita lihat? Sebuah gelas yang separuhnya berisi susu? Ataupun sebuah gelas yang separuhnya kosong? Sebuah gambar yang sama, tetapi dianalisa berdasarkan persepsi yang berbeza.

picture by: ~KatieLyn

Maka begitu jugalah hidup ini.

Bagaimana sikap kita dalam berinteraksi dengan kehidupan sendiri juga memainkan peranan yang penting dalam menikmati kelangsungan kehidupan ini.

Apakah makna menikmati kehidupan?

Adakah ia bermaksud kita menikmati secawan teh di sebuah tempat yang tenang dengan dilatari pemandangan yang segar menghijau sambil dihembus angin sepoi-sepoi bahasa?

Adakah ia bermaksud kita perlu bertungkus-lumus bekerja pada setiap Isnin hingga Jumaat dan bergembira sepuas-puasnya pada malam Jumaat tanpa menghiraukan larangan agama mahupun moral? Bak kata orang atas angin, ‘thank God, It’s Friday!’

Makna kehidupan itu subjektif bagi setiap individu. Jika kita tanyakan pada individu yang berlainan, maka kemungkinan besar jawapan yang diperoleh itu berbeza antara setiap individu. Lain cara pandang.. maka lainlah juga maksudnya pada setiap diri kita. 

Maka, tidak hairanlah jika ada orang yang sangat berpuas hati tatkala mengecap sesuatu nikmat hidup walaupun pada pandangan orang lain nikmat itu cuma biasa-biasa saja.. Dan tidak hairan juga jika ada orang yang mengecap kemakmuran hidup setinggi gunung pun masih belum berpuas hati dengan apa yang dicapai. Bahkan tidak puas-puas mengidamkan yang lebih besar lagi.

Setiap daripada kita boleh saja memberikan jawapan yang berbeza. Namun bagi insan yang menganut ajaran Islam, tentu saja kita satu mempunyai skema jawapan yang sama.

Jika kita gagal memperoleh jawapan yang sama.. justeru, definisi kehidupan itu perlu dinilai semula oleh setiap diri kita dan kembali merenung makna hakikat kehidupan ini..

Apa kejayaan hidup yang ingin dicapai?

Kepada siapakah untuk kita tujukan dan persembahkan segala pencapaian tersebut?

Adakah untuk mendapatkan senaskah penghargaan manusia yang tidak seberapa? Atau demi sebuah keredhaan daripada Allah swt yang tidak terhitung nilainya?

picture by: =RetroChick27

Memang benar apa yang dinukilkan oleh Dr. Asri, “Gagal mengingati asas menyebabkan kita kehilangan kompas dalam kembara hidup. Oleh itu, keluar seketika daripada kegawatan isu, ketamakan, dan kerakusan dunia dengan kembali merenung kepada hakikat hidup.”

Jika kompas kembara hidup sudah hilang, maka sudah masanya kita berusaha mencari kembali kompas hidup yang sudah hilang dan menuju kepada syurga yang abadi, kerana di situlah letaknya sebuah kehidupan yang hakiki lagi infiniti. 

Monday 1 August 2011

Ramadhan: "Barulah Tak Jadi Lempeng!"


**Untuk versi Inggeris (gambar sahaja) boleh layari http://art4islam.blogspot.com atau http://littlemuslimah.deviantart.com


Markonah: Kalau saya bagi awak semua 4 jenis bahan, tepung, telur, mentega dan air, rasa-rasanya apa yang boleh dihasilkan daripada bahan-bahan tu?

Bedah: Ermm, kalau buat roti canai best jugak.

Tipah: Roti canai banyak kolesterol la.. hehe.. Err.. Tak boleh tambah bahan ekstra ke? Kalau tambah serbuk koko boleh la buat kek coklat! Tambah cheese pun sodap. Boleh buat cheese cake!

Bedah: Cik Tipah, Cik Markonah ni bagi 4 bahan je tau.. Tak aci la ada bahan ekstra.

Markonah: Hehe.. Betul tu.. Tak boleh. Kena guna 4 bahan tu jugak. No extra ingredients!

Tipah: Ala.. susah la camni.. boleh buat biskut kering je la kot.

***

Macam takde kaitan pula kan?? Hehe.. Tajuk entri pasal Ramadhan dan lempeng, tapi tiba-tiba masuk dialog pasal roti canai la.. biskut kering la.. hadoyy la.. hehe..

Sabar-sabar, baca sampai habis tahu la kot apa kaitannya.. hehe..

Dialog di atas sebenarnya adaptasi daripada sebuah analogy yang diutarakan oleh Ustaz Fazrul Ismail dalam sebuah seminar yang diadakan di UPM baru-baru ini. Ustaz tu takdelah buat dialog macam tu pun sebenarnya.. Saya saja buat macam tu. (Ingat macam menarik sangat la wat camtu??.. haha). Tapi, insyaAllah, tidak lari daripada tujuan asal analogy tersebut.

Jika kita perhatikan kembali dialog di atas, ia sebenarnya sangat berkait rapat dengan diri kita dan Ramadhan.

Apa kaitannya?

Kaitannya ialah, semua orang diberi ‘bahan’ (input) yang sama secara adil, akan tetapi hasilnya (output) berbeza. Seorang menghasilkan ‘roti canai’ manakala, seorang lagi menghasilkan ‘biskut kering’.

Mengapa?

Ini kerana output yang bakal dihasilkan adalah bergantung kepada ‘proses’ yang dijalankan ke atas input-input tersebut. Maka, proses yang berlainan akan menghasilkan produk ataupun output yang berbeza. Pun begitu, ada kemungkinan output yang terhasil tidak berjaya melepasi piawaian yang kehendaki kerana terdapat masalah-masalah tertentu yang berlaku pada input tersebut.

Maka, begitu jugalah yang berlaku kepada manusia.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”

Dalam ayat tersebut, IMAN ialah input, manakala PUASA adalah proses yang perlu kita jalani untuk ‘mencerna’ input tersebut. Akhirnya, daripada proses tersebut terhasillah TAQWA sebagai outputnya.

Sungguhpun begitu, tidak ramai yang berjaya menghasilkan taqwa walaupun berlapar dan dahaga di bulan Ramadhan.

Ini kerana, ketidaksempurnaan taqwa setelah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan mungkin berpunca daripada masalah input yang bersangkutan dengan iman dan hal-hal dalaman manusia, atau mungkin juga berpunca daripada proses, iaitu soal ilmu pengetahuan dalam menggerakkan puasa mengikut manual Allah swt.

MASALAH INPUT

Saya teringat akan tazkirah yang baru sahaja disampaikan oleh Ustaz Fauzi di Masjid Jamek Serdang tadi mengenai ayat di atas (Surah Al-Baqarah, ayat 183). Mengapa Allah menyebut ‘Hai orang yang beriman’ dan bukan pula ‘Hai sekalian makhluk’ atau apa-apa panggilan lain?

Ini kerana hanya seseorang yang ada iman dalam hatinya, tidak akan keberatan untuk melakukan amal ibadat. Malah seorang yang beriman itu akan melakukannya dengan hati yang gembira walaupun secara logic akalnya, tidak akan ada makhluk yang akan gembira jika tidak dibenarkan makan dan minum pada siang hari.

Lain pula ceritanya jika seseorang itu tiada iman di dalam hatinya. Ibadah yang disyariatkan hanya akan dilihat sebagai beban kepada dirinya. Merasa gembira jauh sekali. Maka, ibadah puasa yang dijalankan hanyalah bersifat material dan fizikal.

Ada juga yang berpuasa kerana manusia dan bukan kerana Allah. Berpuasa di hadapan manusia untuk menutup malu kerana tidak mahu diejek jika tidak berpuasa.

Malah, usah terkejut jika sebenarnya ramai umat Islam berpuasa tetapi masih lagi meninggalkan solat fardhu 5 waktu.

Jika begitulah apa yang berlaku, siapa Illah kita yang sebenarnya? Allah.. atau manusia?

Tidak dinafikan mereka juga akan merasa ‘tempias’ kebaikan berpuasa dari sudut tersebut. Namun, jika puasa hanya dilihat sebagai sebuah proses untuk meningkatkan kesihatan diri, atau mungkin juga dilihat sekadar adat dan ikut-ikutan tanpa dikaitkan dengan soal-soal kehambaan diri kepada Allah, maka fikirkanlah dan nilaikanlah kembali apakah jenis puasa yang sedang kita jalani?

Mana mungkin puasa akan menghasilkan taqwa sekiranya berlaku kepincangan sebegini dalam diri kita. Kepincangan yang berpunca daripada pegangan aqidah yang longgar merupakan satu kecacatan yang serius dan perlu di ambil perhatian.

MASALAH PROSES

Zaiton: Puasa ada berapa rukun?

Sameon: Errr..

(5 minit berlalu)

Sameon: Errr.. uuu…

(15 minit berlalu)

Sameon: Errr… uuuurghhh!!

(setengah jam berlalu)

Sameon: Err.. uuurgghhh.. aargghhh!!! 13 kot..

Zaiton: 13? Salah tu.. Hmm, jika rukun puasa pun tidak tahu, bagaimana dengan puasa kita nanti? Itu baru yang asas, belum masuk bab yang lebih kompleks lagi. Okeh, kira ni jadi homework! Balik cari jawapannya.

(Sameon tertunduk malu sendiri..)

***

Pernah ditanya soalan seperti di atas? Maaflah, macam melampau je contoh sampai setengah jam fikir.. hehe.. Saya percaya anda semua bijak bestari, mesti boleh jawab punya!

Kalau ada yang tak tahu, sila study balik bab puasa yerr..

Apa yang saya ingin jelaskan sebenarnya ialah masalah kepincangan proses mungkin berlaku apabila puasa yang dijalani itu diamalkan tanpa mengambil kira dan menepati kehendak Allah swt. Dan mana mungkin sesuatu ibadah itu akan sempurna jika ilmu asas mengenai ibadah tersebut tidak dipelajari terlebih dahulu sebelum mengamalkannya.

Maka proses di sini ialah bagaimana puasa tersebut perlu dijalankan?

Bagaimana?

“Hari ni saya rasa nak puasa nasi je lah. Yang lain saya makan.”

“Errmm, esok saya nak bersahur pukul 8 lah. Boleh ke? Ahhh.. Kira boleh lah!”

Bolehkah begitu?

Jawapan yang sudah pasti, mestilah TIDAK BOLEH.

Asas yang penting di sini ialah ILMU. Ini kerana segala perlakuan ibadah dalam Islam bukanlah ikut-ikutan atau teka-tekaan mengikut selera kita sendiri, melainkan ia sememangnya sudah diberikan garis panduan tentang cara-cara untuk melaksanakannya.

Silap rujuk resipi ataupun manual, maka silaplah juga output yang terhasil, macam kesudahan kisah Markonah, Bedah dan Tipah ni.. hehe..

***

Markonah: Eh, Bedah, kenapa rupa roti canai ni tak macam roti canai pun?

Bedah: Tak sama ke? Roti canai kan bentuk bulat. Ni dah bulat la ni. Huhu..

Tipah: Ye la.. rasa dia pun lain jer.

Bedah: Tapi saya dah ikut resipi ni.

(Bedah kemudiannya menunjukkan resipi ‘roti canai’ tersebut)

Markonah: La.. patutlah tak jadi. Ni resipi lempeng la.. Bukan resipi roti canai.

Bedah: Alamak! Yeke? Saya tak tahu.. Saya ingatkan lempeng tu adik beradik roti canai. Lebih kurang sama je bentuknya.

Tipah: Hmm.. Tak tahu, kenalah bertanya dan belajar sebelum nak buat roti canai. Barulah roti canai tak jadi lempeng.

Markonah: Tu nasib baik jugak jadi lempeng. Kalau tak jadi apa-apa.. memang nayos!.. huhu

***

“Berapa ramai orang yang berpuasa, tidaklah dirinya itu mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga”

(Hadis An-Nasa’ie dan Ibn Majah)

Renung-renungkanlah..

Selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh muslimin dan muslimat. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi lebih bermakna kepada kita semua..

Ameen..


Rujukan:

Sisipan Seminar Transformasi Ramadhan

http://mytazkirah.com

http://saifulislam.com

Daisypath Anniversary tickers